Mengenai Rawatan Solat Hajat


Rawatan Solat Hajat (atau juga dikenali sebagai Rawatan Jarak Jauh) yang kami praktikkan adalah dengan menggabungkan beberapa ibadah seperti Solat Hajat, Ruqyah Syar'iyah, Zikirullah dan Doa-doa Mustajab. Solat Hajat, Doa-doa Mustajab dan Jamuan Makan juga boleh ditempah untuk dilaksanakan di Masjid. Segalanya adalah bertujuan untuk memohon pertolongan dan keredhaan Allah SWT agar apa jua Penyakit atau Masalah akan segera mencapai kesembuhan. In shaa Allah.

Adapun kaedah Rawatan Solat Hajat yang dianjurkan oleh PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ ini adalah merupakan salah satu peluang menyambung ikhtiar mencari kesembuhan berbagai Penyakit dan Masalah yang dihidapi oleh Pesakit; agar Pesakit tidak berputus asa.

Tidak ada batasan atau lingkungan had bagi kuasa Allah Yang Maha Berkuasa untuk menyembuhkan sebarang penyakit atau menyelesaikan sebarang masalah. Segala penyakit dan masalah itu datangnya dari Allah SWT, sebagai ujian mahupun sebagai kifarah yang pastinya mempunyai segala hikmah, yang jelas dan yang tersembunyi. Hanya kepada Allah SWT sahaja yang selayaknya kita memohon untuk menyembuhkan penyakit atau menyelesaikan masalah, sambil berusaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh dengan cara yang diredhaiNya.

Maka itu, Rawatan melalui Solat Hajat, bacaan Ruqyah Syar'iyah, Zikirullah dan Doa-doa Mustajab adalah langkah yang sangat dianjurkan oleh Islam.

"Wahai sekalian ORANG-ORANG YANG BERIMAN! Mintalah PERTOLONGAN dengan BERSABAR dan dengan (mengerjakan) SOLAT; kerana sesungguhnya ALLAH MENYERTAI (menolong) ORANG-ORANG YANG SABAR."
(Al-Baqoroh: 153)

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya AKU adalah DEKAT. AKU MENGABULKAN PERMOHONAN orang yang BERDOA apabila ia MEMOHON KEPADAKU, maka hendaklah mereka itu MEMENUHI (SEGALA PERINTAHKU) dan hendaklah mereka BERIMAN KEPADAKU, agar mereka selalu BERADA DALAM KEBENARAN"
(Al-Baqoroh: 186)

Adapun segala ibadah tidaklah boleh dijual-beli. Adalah terbaik dan lebih afdhol sekiranya Pesakit atau waris Pesakit sendiri yang dapat melakukan Solat Hajat, berzikir dan berdoa dengan penuh keimanan, ketaqwaan dan secara istiqhomah (berterusan).

Namun, sebagai hamba Allah yang sentiasa serba kekurangan dari segala sudut, kadangkala kita perlu mendapatkan bantuan dari orang lain yang lebih berkeupayaan, mahir dan mengetahui selok belok tentang sesuatu perkara itu. Terdapat beberapa ibadah lain seperti Ibadah Korban, Aqiqah serta Umrah dan Haji (untuk orang yang sedang uzur atau telah kembali ke rohmatullah) yang boleh kita wakilkan kepada orang yang lebih arif daripada kita. Kita juga mungkin menjemput Imam dan Qoriah Masjid atau Surau untuk mengadakan Solat Hajat, Tahlil, Doa Selamat atau/dan Doa Arwah di rumah kita. Perbelanjaan dan segala kos harus kita tanggung dan menyerahkannya kepada pihak berkenaan bagi melaksanakan ibadah-badah tersebut. Mengapa tidak kita melakukannya sendiri?

Maka, adalah tidak menjadi kesalahan atau keraguan di dalam melaksanakan Rawatan melalui Solat Hajat, bacaan Ruqyah Syar'iyah, Zikirullah dan Doa-doa Mustajab serta mengadakan Jamuan Makan di Masjid (bersedekah); kerana semuanya adalah menjadi ibadah dalam mencari keredhoan dan memohon pertolongan Allah SWT dalam menyembuhkan Penyakit atau menyelesaikan masalah - selagi segala Iqtiqad, Niat dan Perbuatan tidak bertentangan dengan Syariat Islam. In shaa Allah.

"Katakanlah: Sekali-kali TIDAK AKAN MENIMPA kami melainkan apa yang telah DITETAPKAN OLEH ALLAH bagi kami. DIALAH PELINDUNG KAMI, dan HANYALAH KEPADA ALLAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN HARUS BERTAWAKAL." 
(At-Tauba: 51)

Apa yang penting, janganlah kita sesekali terlibat dengan perkara-perkara yang mungkar lagi keji seperti mendapatkan bantuan secara berdepan atau jarak jauh dari bomoh, dukun, pawang atau individu yang menyamar menjadi Perawat Islam atau yang tersesat tanpa disedari; yang menggunakan khidmat jin (yang memang boleh melakukan perkara-perkara yang pelik, ajaib dan mustahil pada pandangan manusia).

Penggunaan khadam jin, mentera, sihir serta yang berkaitan dengannya adalah HARAM kerana ianya adalah perkara SYIRIK dan KHURAFAT dan sudah tentu akan menjerumuskan kita ke lembah kehinaan, kesusahan dan penderitaan samada di dunia atau akhirat atau kedua-duanya sekali. Na'uzubillahi min zaalik.